Saturday, October 20, 2012

CATATAN 2: HORMATI DAN SAYANGILAH MEREKA


Mungkin sesiapa yang biasa 'Bersiar-siar' disekitar SOGO, Jalan TAR dan Jalan Masjid India akan perasan dengan kelibat seorang 'Mak Cik Penjual Kerepek' yang 'Tak lekang dengan Senyuman Manis dan Suka Menyapa' dengan sesiapa sahaja. Berdekatan dengan Kedai Kasut JukeBox.

Kelmarin, seusai 'Shopping' di Pustaka Mukmin. Saya terpanggil untuk mendekati Mak Cik yang sedang menjual kerepek tersebut. Pada perkiraan saya, beliau berusia awal 70-an. Usia yang sebaya dengan 'Ma' saya.

Izinkan saya memanggil beliau, 'Ibu'.

Banyak cerita yang dikongsikan oleh 'Ibu'. Bermula daripada tempat tinggalnya di Selayang sehingga perihal 5 orang anak-anak yang sudah berumah tangga dan membawa haluan masing-masing. Kejayaan anak-anak 'Ibu' diceritakan dengan bersungguh-sungguh.

Fitrah ibu yang sentiasa menceritakan 'kebaikan' dan 'kejayaan' anak-anak. Ibu mana yang sanggup membuka 'aib' dan 'kelemahan' anak-anak dihadapan orang.

Seawal jam 9 pagi hinggalah 7 petang, 'Ibu' istiqamah menjual kerepek-kerepeknya. Jumlahnya 5 plastik yang kelihatan berat-berat kesemuanya. Tak kan mampu diangkat oleh kudrat tua.

Saban hari berhujan panas di kaki lima. Tanpa memperdulikan bau asap yang menyengit. Bunyi bising yang perit. Demi mencari rezeki halal. Pantang meminta-minta. 'Ibu' ini tidak mengendahkan mereka yang 'memperlekehkannya' dan 'menjauhinya' dengan pandangan hina.

Kadang-kadang 'Ibu' mengesat peluhnya dengan hujung lengan bajunya. Bahang panas terik matahari menguji. 15 minit saya di situ sudah tak tertahan. Inikan pula 7-8 jam.

Wajah yang tenang seorang ibu, sentiasa menyembunyikan penderitaan. Perkataan 'penat' haram disebut dihadapan anak-anak.

Biarpun anak-anak sudah menginjak keusia dewasa, berumah tangga, beranak pinak dan berkerjaya. Namun, seorang 'Ibu' tersebut tetap ingin bekerja, biarpun kudratnya tidak segagah usia muda.

Mereka sering beralasan bahawa tidak ingin menyusahkan anak-anak mereka, apatah lagi menjadi 'Beban'. Biarpun hasil yang diperolehi adalah jumlah yang amat sedikit. Mereka tetap 'memberikan' hasil tersebut kepada anak-anak. Kerana kasih kepada anak-anak mendahului keperluan diri.

'Ibu', yang sentiasa mendahulukan kepentingan anak-anak.

Saya cuba bersangka baik. Mungkin 'Ibu' ini amat suka berniaga. Mungkin 'Ibu' ini berusaha untuk kurangkan beban anak-anaknya. Mungkin 'Ibu' sedang 'kesunyian' dan 'kekosongan'.Tetapi pada usianya, lebih sesuai berada di rumah. Mendapat perhatian penuh daripada anak-anak.

Sewajarnya, anak-anak lah perlu 'berusaha' menyediakan tempat yang lebih layak untuk 'Ibu' berniaga. Tanggungjawab anak-anak lah yang menafkahi 'Ibu'. Peranan anak-anak lah yang perlu mengisi kesunyian 'Ibu'.

Saya menghulurkan 'Twister-Orange' kepada 'Ibu'. Tetapi, selang beberapa ketika air itu tidak 'dijamah' oleh 'Ibu'.

'Ibu' senyum dan membuka mulutnya, menjawab persoalan saya:

"Mak Cik puasa nak. Sekarang ni bulan Zulhijjah. Banyak fadhilat bulan ni. Tahun depan belum tentu kita ada peluang nak."

Saya terpukul :-)

Saya menghulurkan RM10 untuk membayar 2 kerepek yang berharga RM 5 dan menghadiahkan baki tersebut kepada 'Ibu. Tetapi 'Ibu' enggan menerima wang hadiah pemberian saya itu, dan sempat menasihatkan saya:

"Terima Kasih. Tak apa lah nak. Ambil duit baki ni nak. Anak lagi perlukan duit ni. Gunakan untuk belajar ye. Belajar baik-baik. Jangan kecewakan Mak Ayah."

Saya meminta izin untuk pergi.

Sempat berpaling kepada 'Ibu', beliau tetap setia menghadiahkan senyuman. Senyuman Ikhlas dan tabah. Senyuman seorang Ibu. Yang mengtenteramkan.Yang bijak menyembunyikan jerih dan keperihan.

Subhanallah...
Sebab itulah Allah meninggikan darjat seorang IBU dengan darjat yang tinggi disisiNYA. Ibu yang mengandung, mendapat pahala berterusan dan diampunkan dosanya. Ibu yang meninggal dunia semasa melahirkan anak, layak mendapat pahala syahid. Ibu jugalah 'Dikurniakan Syurga dibawah Telapak Kakinya'.

**************
Buat Si Suami, janganlah melebihkan kasih sayang dan perhatian terhadap isteri melebihi kepada Ibu. Ibu adalah keutamaanmu.

Buat Si Isteri, janganlah mudah terasa hati dan melenting jika suami melebihkan ketaatannya kepada ibunya. Kerana itulah tanggunjawabnya. Berpesanlah kepada suami agar sentiasa melebihkan Ibu mereka.

**************

(PENGAJARAN)

[1] Hormatilah kepada mereka yang lebih tua daripada kita dengan penuh kasih-sayang. Biarpun mereka bukan Ibu bapa kita.

[2] Sentiasa doakan kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat ke atas Ibu Bapa kita.

[3] Sentiasa bertanya khabar mereka. Paling tidak 2 kali seminggu. Tak terjejas sangat pun 'kredit hp' kite. Kalau RM10 sehari kita sanggup habiskan bergayut dengan 'Kekasih Tanpa Ikatan Halal' kita. Lebih-lebih lagilah Ibu yang melahirkan kita dan Bapa yang membesarkan kita.

[4] Tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh dengan mengenangkan penat jerih dan pengorbanan Ibu Bapa kita.

[5] Bersabarlah dengan 'Celoteh-celoteh' mereka apabila mereka meningkat ke usia tua, yang kadang 'keanak-anakan', 'mudah merajuk dan sensitif' dan 'mood dan selera yang sentiasa berubah-berubah' serta 'bercerita cerita yang sama yang sentiasa diulang-ulang'. Ibu boleh membesarkan 10 anak-anak dengan penuh kasih-sayang dan tanpa diminta balasan. Namun belum tentu 10 anak-anaknya mampu menjaganya dengan baik.

[6] Berazam dan sentiasa berusaha untuk menjadi anak yang soleh dan solehah sebagai Aset Terpenting di Akhirat nanti.

[7] Berkhidmat kepada mereka dengan penuh Ikhlas dan sepenuh hati. Kesibukan kerja dan kesempitan hidup bukan halangan untuk berkhidmat pada mereka. Utamakanlah mereka.

Rijal88
6.45a.m, Sabtu, 18 Oktober 2012,
UIAM GOMBAK.

Ditulis Oleh : rijal88 // 6:59 AM
Kategori:

0 comments:

Followers

 
Powered by Blogger.