Friday, January 18, 2013

CATATAN 8: JUJURLAH DALAM KEJUJURAN

Semalam saya ditegur oleh salah seorang Murabbi, dengan teguran yang telah membungkam mulut dan menyentap hati saya. Lama saya merenung dan muhasabah diri, dengan kata-katanya. Ya, ada benarnya kata-katanya. Kata-kata yang jujur, yang membentuk kejujuran.


“Akhi, jujurlah dalam kejujuran”

Suatu Rahmat dan Nikmat tidak terhingga, apabila berpeluang menjalani kehidupan di bumi UIAM. Ada sahaja yang sudi menegur. Demi sahaja membuktikan kasih sayang pada saudaranya. Melalui nasihat dan panduan berguna buat saudaranya.

Allah mengetahui apa yang tersirat dihati kita. Biarpun setebal mana ‘Sampul Tersurat’ yang kita baluti, bertujuan untuk melindungi ‘Kebenaran Yang Tersirat’. Mustahil kita sembunyikan maksud hati daripada Pencipta Hati.

Sering sahaja kita tidak jujur pada hati. Zalim pada kehendak hati yang sebenar. Dengan beranggapan, ‘hipokrasi’ yang kita ciptakan mampu mencipta kebahagiaan.

Selama mana kita mampu bertahan? Percayalah, makan hati, gundah gulana dan perasaan tidak pernah tenteram apabila kita tidak jujur pada hati. Itulah impak buat mereka yang khianat pada hati.

Tanyalah hati, apa mahu dan hendaknya. Usah zalimi permintaaan dan keperluan hati. Suatu amanah buat kita, untuk mengenal, menjaga dan  mengurus hati. Pastinya, ‘Qalbun Salim’ iaitu hati yang sejahtera sahaja yang perlu kita turuti. Yang melalui peringkat penyucian hati dari sifat-sifat Mazmumah.

Suatu sikap yang paling susah diubah oleh saya, salah satunya adalah ‘Tidak Jujur Pada Kehendak Hati’. Ya, soal keperluan dan kemahuan hati, sering sahaja saya tidak jujur. Demi sahaja melihat orang-orang bahagia, saya biarkan hati menderita. Saya silap, kebahagiaan itu apabila kita mampu membahagiakan orang disekeliling kita. Dengan syaratnya, semestinya hati kita juga bahagia.

Mustahil, hati yang tidak bahagia mampu membahagiakan hati orang lain. Formulanya mudah, hati yang sakit dan diselaputi dengan maksiat mana mungkin dapat membersihkan hati yang lain. Memberi dengan hati bahagia dan ikhlas, itu asasnya.

Nah, hari ini saya tekadkan dalam hati saya. Saya perlu berubah.

“Aku perlu jujur dengan hati sendiri. Jujur dengan kejujuran”

Rijal 88
8.01 am, Jumaat, 18 Januari, 2013
UIAM GOMBAK

Ditulis Oleh : rijal88 // 8:33 AM
Kategori:

0 comments:

Followers

 
Powered by Blogger.