Friday, June 10, 2011

TERIMA KASIH DAN MAAF



Jarang sekali berpesan kepada diri sendiri. Hingga menampakkan kelebihan dalam diri lebih dari kelemahan pada diri. Jari telunjuk pantas menunjuki kesalahan orang pada setiap inci. Tanpa sedar kelingking berkait menunding pada diri. Bimbang tidak segera berpesan pada diri. Kelak yang putih nampak hitam dan hitam tampak putih. Dosa terasa amat selesa. Pahala nan terasa seperti bala. Na’uzubillahi Min Zaalik.


Syukur kepada Pemberi Nikmat. Terima kasih kepada Pembawa Rahmat. Kedua-keduanya kembali kepada Allah, Maha Pemberi Berkat. Jangan di biar nikmat yang melimpah disekat. Lantaran lidah yang sepatutnya subur dengan ucapan syukur, dibiar tersejat.


Jangan di pandang yang bernilai dengan nilaian yang murah. Kelak si pemakai terasa seperti tiada maruah. Kalimah ‘Terima Kasih’, ‘Syukran’ dan sekalipun ‘Thank You’ kini di pandang asing. Kalimah yang ringan, terasa berat untuk dituturkan. Apatah lagi hati yang perlu membenarkan.


Ringan kan lidah dengan ucapan penghargaan. Tidak perlu hadiah yang bertaraf bangsawan. Hanya cukup ucapan ‘Terima Kasih’, sebagai pengukuh ikatan. Maka, ucapkanlah ucapan Syukur padaNYA dan terima kasih kepada Hamba-hambaNYA.


************


Tidak hina jika kita yang mendahului dengan ‘Ucapan Maaf’. Biarpun bukan kita pemula segala khilaf. Kerana ia dipandang mulia makhluk langit dan bumi. Apatah lagi Allah, Maha Pengampun. Kita mengalah bukan bererti kalah, bahkan menangnya kita penuh bermaruah.  


Jangan beratkan lidah, dengan kalimah ampun dan maaf. Kerana hati menjadi tenang dan lapang. Tenangkannya hati dari Nafsu Amarah. Lapangnya dada dari segala hasad dan dendam. Moga-moga Hisab menjadi mudah, dengan mudahnya memaafkan kesalahan orang.


************


Teringat pada 4 pesanan dalam bersahabat. Ingat akan 2 perkara. Dan Lupakan pada 2 perkara.

1-Ingat KEBAIKAN orang lain terhadap kita.
2-Ingat KEBURUKAN kita terhadap orang lain.
3-Lupakan KEBAIKAN kita terhadap orang lain.
4-Lupakan KEBURUKAN orang lain terhadap kita.





“Seinfiniti terima kasih buat teman-teman yang berbakti & mohon maaf atas segala salah dan khilaf dalam bersahabat”




Rijal

2.56 am, Jumaat, 10 Jun 2011

UIAM GOMBAK.


Ditulis Oleh : rijal88 // 3:09 AM
Kategori:

0 comments:

Followers

 
Powered by Blogger.