Sunday, April 17, 2011

KITA BERSAHABAT

 
“ Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang-orang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Orang-orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (Orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dirinya dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
 (al-Hasyr: 9)


Bersahabat punya adab dan caranya. Tiada lengkap tanpa saling melengkapi. Tidak tercapai tanpa saling mendokong. Saling menasihati tika alpa dan terlanjur. Jelas pincangnya jika salah pada Mukaddimahnya. Lama, banyak, mendalam, menyeluruh serta benar dan sempurna  menjadi rantaian dalam bersahabat.


Lama tidak bererti banyak. Namun kita beranggapan, lama bersahabat juga banyak yang kita tahu. Banyak tidak semestinya mendalam. Bererti banyaknya yang kita kenal belum menjamin dalamnya kita faham. Mendalam belum pasti menyeluruh. Faham yang mendalam akan tampak cacatnya tanpa saling menolong demi RedhaNYA. Menyeluruh tidak bermakna benar dan sempurna. Ikhlas bersahabat dan menagih redhaNYA itulah matlamat dan manifestasi bersahabat.


Hidup bersahabat laksana melayari bahtera. Kerna perahu itu tidak terdaya menyaingi ganasnya gelombang laut dan kencangnya badai bertiup. Maka, bahtera itu tuntutan bukan lagi pilihan. Ada yang mendayung, ada yang mengawal layarnya dan ada pula yang menakhodanya. Matlamatnya, saling menanggung dan melengkapi demi sampai ke destinasi yang sama.


Menyintai sahabat dengan mengutamakan Allah. Dan mengajak sahabat agar mengutamakan Allah dalam menyintai kita. Saling menyintai kerana menyintai Allah. Biarpun jasad berbeza namun hati tetap sama kerana ia terpaut menjadi satu. Cintailah sahabat kerana Allah.



Jadi masihkah mengharapkan penghargaan dan ganjaran dalam bersahabat?. Yakinilah, kurniaanNYA teramat banyak. Menjadi hamba yang terpilih sama di bawah lindungan ‘ArasyNYA, di Masyhar kelak. Buat sahabat yang memberi kerana kasih-sayang, yang bertautkan Redha, tanpa terpincang daripada Iklhas keranaNYA. Memberi pula bukan kerana dipinta. Namun dihulur sebelum diminta. Hadirnya pemberian sebelum sahabat meminta-minta. Kerana memaknakan hidup pada memberi.


“ Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha penyayang” ”
(al-Hasyr: 10)


Moga-moga Allah mentautkan hati-hati kita keranaNYA. Allah mengampun segala noda dosa kita lantaran alpa dan lemahnya kita. Tanpa, hadirnya walaupun setitik hasad dan dendam.




Maafkanku  Atas  Segala  Salah & Khilaf  Dalam  Persahabatan

2.40 pm, Ahad, 17 April 2011

UIAM GOMBAK.

Ditulis Oleh : rijal88 // 2:54 PM
Kategori:

0 comments:

Followers

 
Powered by Blogger.