Wednesday, March 2, 2011

HENTIKAN TANGISAN ITU




Pada mulanya malas untukku bicarakan soal ini. Barangkali aku sudah jemu dan terlalu penat untuk bicarakannya?. Ataupun aku sudah menyerah, biarpun memberontak dalam sepi?. Tidak dan tidak!. Aku menafikannya sama sekali, kerana pastinya bukan itu sebabnya. Kerana kini lebih banyak kewajipan dan tuntutan yang perlu aku utamakan.

Namun tika ini, aku tergerak hati untuk membuka kembali Lembaran Nostalgia ‘ITU’. Tidak lebih daripada catatan berupa ibrah(pengajaran) dan cebisan ilmu. Ya, coretan ini sebenarnya khas buat temanku, kerana kita dari Bahtera yang sama dan umumnya buat mereka yang mahu mencedok setitis input darinya. Ia bukanlah emas dan permata yang tinggi nilainya. Namun sebagai batu-batu kerikil penurap jalan. Yang zahirnya tidak dipandang, tapi manfaatnya dirasa.

Tidak sesekali terlintas di benak fikiranku mahu dipandang serba hebat. Jauh sekali dari sudut hatiku akan gila puji dan puja dari manusiawi. Cukup sebagai hamba yang kerdil. Yang turut menyumbang, turut membantu.

“Hati adalah raja. Tempat tuju dan tumpu nilai sebuah Niat. Tampak cacat pada tuannya, tika hati terpalit noda dan dosa. Ikhlaskanlah niat dalam memberi dan berkongsi”



HENTIKAN SEGERA DAN TERSENYUMLAH


Hentikan segera tangisan itu. Kerana ia tidak lebih dari mudharat dan sia-sia belaka. Usaplah air matamu yang mengalir deras itu. Jika tidak, redam bara emosi pasti bergelojak memanas. Sedarilah, kau tercipta bukan untuk menangisi zaman. Namun, sebagai pengisi dan pencorak zaman. Usah menangisi duka lara. Kerana kelak kau pasti tenggelam dalam lembah nestapa.

*****


Sahabatku,
Jika cintamu mengalami kegagalan, jika ta’arufmu kandas di tengah jalan, jika harapanmu dibalasi kehampaan, jika niat sucimu dicaci dan difitnah tanpa kerelaan. Maka…

Tersenyumlah... !!!

Dan lihatlah awan hitam, kerana disebaliknya tersimpan keindahan Sang Pelangi. Begitulah Penguasa Alam Semesta, Dia sentiasa punya rahsia dan kebijaksanaan. Maha Mengetahui yang terbaik buatmu. Untuk membuatkan makhlukNYA lebih dewasa.

Tersenyumlah... !!!

Sungguh, Cerita Kehidupan kita tak pernah tertukar dengan sesiapapun. Allah sesekali tidak pernah salah memilih Skrip Takdir buat kita. Di setiap EpisodNYA, Allah selalu menyelitkan Mutiara Hikmah untuk kita ambil dan pelajari. Dan hanya mereka yang beriman dan berakal sahaja memahami hakikat ini.

Cinta Suci sedang menunggumu, sahabatku. Tetapi kau harus sabar menantikannya. Kerana cinta itu akan menjemputmu, di masa yang telah DIA rencanakan.

Buat hatimu sedang diremukkan. Jangan sesekali berikan celah kepada Nafsu dan Syaitan. Yang hanya membuatkan Imanmu terlemahkan. Perihnya duka lara bukanlah suatu isyarat Kiamat sudah mendatangimu. Cumanya, sebuah Lamaran CintaNYA buat dirimu. Ya, memang berat kerana pastinya ganjaranNYA maha hebat buatmu.

Sedarilah sahabatku, dalam setiap butiran air matamu, dalam setiap jeritan derita batinmu, dalam rintihan sesaknya nafasmu. Allah sedang mengajarimu tentang Darjat Cinta DIA dan Cinta si dia. Dan pasti kau menyedari, pasang surut laut adalah kepastian. Tawa dan tangis adalah kewajaran. TakdirNYA menjadikan makhluk berpasangan. Sebuah ketetapan Sang Penguasa.

Tersenyumlah sahabatku dalam kesabaran munajat panjangmu. Meskipun, hatimu disiat-siat tanpa kerelaan dan jiwamu penuh harapan dibalasi kehampaan. Dan biarpun kau dapati tiada pasangan buatmu di dunia ini. Bukan bererti Allah sedang menghukum dan murka padamu. Namun, DIA sedang menyiapkan makhluk terindah buatmu, yang sedang menantimu di Syurga. Yang setia menemani jiwamu. Syaratnya, kau juga harus persiapkan diri sebagai Mukmin Sejati.

Sahabatku, aku juga pernah diuji sebegitu. Bukan sekali, bahkan empat kali. Maka, yakinilah Ia sebagai sebuah Modul Tarbiyah Cinta dariNYA. InsyaAllah, betapa pahitnya dugaan, kerana manisnya ganjaran.


RENUNGAN


Sudahkah kita menangis kerana merenungi dosa-dosa kita kepada Allah?
Telahkah kita menangis kerana rindu akan Rasulullah?

Sahabatku, air mata itu terlalu suci untuk kita keluarkan kepada sesuatu yang tidak pernah mahu menangis demi kita.

*****

Semuanya kerana Allah tentu indah. Cinta padaNYA pasti terbalas dan kekal pula sifatnya. Cintai makhluk kerana Pencipta. Bunyinya semacam mustahil bukan? Namun tiada mustahil dengan IzinNYA. Dahulukan Cinta kepada Allah. Maka, makhluk-makhlukNYA di langit dan di bumi turut mencintaimu. Utamakanlah Allah. Kerana pasti Allah akan utamakanmu. Tersenyumlah..{|:-)



# post ini kutujukan khas buat temanku, yang kini sedang diuji dengan ujian amukan hati dan perasaan. Moga2 Allah memberikan Hidayah dan menunjuki jalan penyelesaian buatnya. Amin Ya Robb.
# maafkanku sahabat, sememangnya aku tak pandai dlm memujuk, mmberi nasihat & dorongn semangat. :-)



Dari Aku Yang Tak Reti2 Jadi Sahabat,
3.15 am, Rabu, 2 Mac 2011
UIAM GOMBAK.

Ditulis Oleh : rijal88 // 3:20 AM
Kategori:

0 comments:

Followers

 
Powered by Blogger.