Tuesday, January 11, 2011

MAAFKANKU

SUDAH TERLAMBAT?


Sahabat,


Lewat aku memahamimu, biarpun sudah lama kita bersama. Ya, lama itu sungguh subjektif dan punya banyak tafsiran. Lama itu tidak bermakna banyak dan dalamnya aku memahamimu. Mungkin kerana lama kita bersama, maka sentiasa pula aku meminggirkanmu. Dan dalamnya aku memahamimu,namun tak bermakna hingga mencecah ke dasar peribadimu, lubuk hatimu yang sebenar.


Aku gagal memahami antara Tujuanmu, Keperluanmu dan Kemahuanmu. Tujuanmu sebagai Hamba dan Khalifah. Gagal mentafsir kepentingan keperluanmu. Namun selalu pula mengutamakan teman-teman yang lain. Biarpun aku tahu mereka tidak akan menghargai pemberianku, tidak sepertimu. Biarpun mereka sentiasa mempersoalkan Nilai Ikhlasku, namun kau tidak. Biarpun aku sedar akan kemahuanmu, namun aku gagal menterjemahkannya malah seringkali pula jadi Batu Penghalang. Acap kali pula aku rela dan sanggup melihatmu begitu terseksa. Mungkinkah harapanmu padaku kini sudah bertukar menjadi dendam…


SESAK DAN SEKSA


Ramai yang meletakkan Harapan Tinggi padamu bukan? Tapi ini tidak bermakna sombong dan besar diri menguasaimu. Bahkan penambah resah dan gelisah. Resah kerana niat perjuanganmu akan sentiasa berbolak-balik; keranaNYA atau kerana mereka? Gelisah kerana tidak mampu merealisasikan harapan mereka, seperti yang ditagih selalu.


Kata mereka; “kau hebat, kau mantap”. Ahhh! dari siapa mereka mendengar semua cerita karut ini??. Semua ini tidak lebih dari kepalsuan dan solekan. Palsu dari berpijak pada realiti, iaitu tanpa mengenalimu dari dekat. Solekan dari mereka yang mengada-adakan yang tiada. Aku mewakili Kau, mengharapkan teman-teman tidak terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi padamu. Kerana ia terlalu menyesakkan. Sungguh…


Ya, setakat yang aku mengenalimu.. Kau sangat berahsia bukan? Ya aku juga sedar Kau begitu terseksa melihat teman-temanmu menghulurkan simpati padamu. Biarpun niat mereka suci. Tapi ia benar-benar menyeksamu. Dan kau juga takut teman-temanmu itu turut bersedih, terbeban dan terluka keranamu, jika Rahsia Terpendammu dikongsi bersama. Kecuali kepada mereka yang benar-benar Kau percaya. Tapi ia begitu sukar…


PELUANG


Tiada yang kekal selamanya melainkan Allah. Maka, saatnya makin menghampiri. Disaat kau pada kondisi begini. Disaat kau dalam serba keterbatasan. Mungkin lewat sudah kau akan memaafkanku dan berikanku peluang. Tapi tidak bermakna aku harus berhenti berkhidmat dan berbakti padamu. Maka, maafkan segala kekhilafan dan kesalahan lampauku. Peluang sebagai penebus kesalahanku selama ini. Dan dengan peluang ini aku mahu “Memanfaatkan Hidupmu dan Memaknakan Perjuanganmu ”.


Kerana…





Kau adalah Aku.




Rijal88

Ahad, 9 Januari 2010

UIAM Gombak

Ditulis Oleh : rijal88 // 6:53 PM
Kategori:

1 comments:

Anonymous said...

cahaya hati-opick

Followers

 
Powered by Blogger.