SUSUK TUBUH ITU
Aku masih ingat lagi akan susuk tubuh itu.
Garisan kedutan di mukamu bukti begitu banyak perjalanan hidup yang kau tempohi. Tanganmu yang kasar sebagai saksi hidup ini bukan tempat bersenang-lenang, namun satu kehidupan pengabdian. Pada usiamu, sepatutnya kerehatan yang dibutuhkan padamu. Namun itu bukan pilihan mu. Ibadat dan bekerja perlu digandakan sebagai bekal terakhir bertemu denganNYA.
Tulang empat keratmu makin menghampiri tarikh luputnya. Namun tiada tanda untukmu melabuhkan ‘tirai pekerjaan’ walhal amaran bahaya berkali-kali dibunyikan. Tetap teguh tubuh yang senja itu terus beramal dan bekerja.
Akhirnya aku mula memahaminya. Kerehatan merupakan mudarat padamu. Matlamat dan prinsip hidup adalah sinergi yang terus menggerakkan tulang empat keratmu. Lansung tiada keluhan kepenatan yang kau ucapkan. Sebaliknya kalimah ‘Hamdalah’ yang diucapkan.
Sungguh, itulah susuk tubuh yang tak kan aku lupakan. Bahkan masih hangat di hatiku. Masih segar difikiranku.
Ayahanda, sungguh aku rindukanmu. Rindukan bau tubuhmu. Ingin sekali aku mencium tanganmu. Mahu sekali memeluk tubuh tuamu. Dan dahagakan doa daripada seorang bapa. Anakmu ini masih kehausan nasihat dan pedomanmu. Ingin sekali aku bercerita padamu. Tentu sekali banyak yang aku ingin kongsikan bersamamu.
Namun, Takdir dan Tadbir hak mutlak Allah.
SEBUAH KEPASTIAN
Tanggal 2 Syawal 1427H, Abah dijemput mengadap Allah yang Maha Agung. Penguasa hidup dan mati makhlukNya. Kepasrahan mengatasi kesedihan. Jangan ditangisi melampaui batas, kerana kematian itu adalah suatu kepastian. Usah diratapi pemergian, kerana ia sebuah jemputan ke kampung halaman. Kematian permulaan episod baru, lembaran baru dan alam yang dijanjikan untuk semua pasti tiba.
Sekujur tubuh yang terbujur kaku. Jasad kian hilang hangatnya, kesejukan pula yang menusuk. Saat dikau menghembuskan nafasmu, disamping anakmu. Aku menyaksikan kalimah syahadah yang terakhir kau ucapkan. Penyaksian hamba kepada Allah Yang Esa, juga penyaksian Muhammad pesuruh Allah. Seukir senyuman, menyaksikan ganjaran yang dijanjikanNYA. Moga-moga kau bersama-sama mereka yang soleh.
Doa anak yang soleh yang kau dambakan. Doa anak soleh yang mendoakan keampunan, rahmat dan keselamatan mu di alam sana. Doa yang menjaminmu disaat tiada penjamin disisi. Amalan yang dijanjikan oleh Rasulullah disaat nyawamu tiada lagi dimuka bumi ini.
AL-FATIHAH BUAT AYAHANDA HAJI WAN ISMAIL BIN WAN MAHMOOD DIJEMPUT ILAHI
TANGGAL 2 SYAWAL 1427/ 26 OKTOBER 2006
RiJaL_88
IIUM GOMBAK
AHAD, 5 September 2010
12.00PM
I’m back on 2020!!
4 years ago
0 comments:
Post a Comment