Saturday, January 19, 2013

CATATAN 9: BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH SEPANJANG MASA


Betapa besar dan tingginya nilaian selawat keatas junjungan besar Muhammad s.a.w, sehinggakan Allah sendiri yang mula-mula memuliakan Baginda menerusi selawat, serta diikuti oleh para malaikat dan barulah umat manusia diperintahkan berselawat ke atas baginda. Telah terangkum firman Allah di dalam al-Quran:


“Sesungguhnya, Allah dan malaikatNYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w.): ’Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkan salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.’” (al-Ahzab: 56)


Malu rasanya jika mulut petah menuturkan ‘Bait-bait Cinta’ kita kepada Baginda. Namun hati, amalan zahir dan sunnah harian tidak mengikut acuan Baginda. Cinta bukan hanya dibibir. Bahkan hati sentiasa terpaut rindu yang amat, hingga resah menantikan saat bertemu. Manifestasi cinta kita dibuktikan dengan mengikuti sunnah baginda dengan penuh mahabbah dan ikhlas. Inilah cinta. Sebuah cinta hakiki daripada seorang kekasih buat kekasih yang tercinta, Habibina Muhammad s.a.w.


Amat malang jika 'Salawat, Manifestasi Cinta dan Menghidupkan Sunnah' Rasulullah hanya bermusim dan berala kadar sahaja. Seolah-olah hanya dihayati sebulan dalam setahun, atau lebih tepat 1 hari setahun iaitu 12 Rabi'ul Awal.


Mari kita ikuti suatu kisah yang penuh pedoman. Mudah-mudahan ia dapat membuka 'Pintu Hati' kita:


Ubai bin Ka'ab berkata kepada Rasulullah s.a.w: "Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyakkan selawat kepadamu. Daripada masa berdoa dan berzikir, sebanyak manakah masa yang patut aku luangkan untuk berselawat kepadamu?"

Baginda bersabda: "Sebanyak yang hati kamu inginkan."


Aku bertanya lagi: "Wahai Rasulullah, jika satu perempat?."


Baginda bersabda: "Sebanyak yang hati kamu inginkan. Sekiranya kamu menambah, maka itu lebih baik bagi kamu."


Aku bertanya lagi: "Jika separuh?."


Baginda bersabda: "Sebanyak yang hati kamu inginkan. Sekiranya kamu menambah, maka itu lebih baik bagi kamu."


Aku bertanya lagi: "Jika dua pertiga?."


Baginda bersabda: "Sebanyak yang hati kamu inginkan. Sekiranya kamu menambah, maka itu lebih baik bagi kamu."


Lalu, aku berkata: "Jika demikian aku jadikan SELURUH MASA UNTUK BERSELAWAT kepada kamu."


Sabda Baginda: "Jika kamu lakukan sedemikian, maka Allah akan hapuskan segala kerisauan kamu dan Allah akan ampunkan segala dosa kamu."


Sekarang, tanyakan pada diri kita; berapa banyak pula masa yang kita gunakan untuk berselawat kepada 'KEKASIH HATI' kita, Habibina Muhammad Rasulullah s.a.w?."


Rijal88
3.01 pm, Sabtu, 19 Januari, 2013
UIAM GOMBAK



Ditulis Oleh : rijal88 // 3:50 PM
Kategori:

Followers

 
Powered by Blogger.