Wednesday, June 15, 2011

RUANG DAN PELUANG


Di beri Ruang akan hikmahnya waktu, bermakna di beri Peluang akan nikmatnya masa. Allah telah memperuntukkan waktu, demi hamba-hambaNYA  untuk menginsafi dan muhasabah akan Kembara Hidup. Yang ditempohi oleh hamba-hambaNYA pada masa yang lalu. Barangkali di sana ada khilaf dan kesalahan yang dilakukan oleh hamba-hambaNYA, sama ada dalam keadaan sedar atau tidak sedar.


 Namun kerana Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-NYA, kita masih diberi ruang untuk koreksi segenap aturan hidup, melalui Taubat Nasuha padaNYA.  Masa diberi, untuk di manfaatkan. Memanfaatkan Nikmat Nyawa demi memanfaatkan  hidup dan memaknakan perjuangan. Kerana ia pasti di hisab pada setiap inci dan detik. Makanya, buat kita yang sedar dan faham bersegeralah memberikan peluang untuk diri, menjadi Mukmin yang Cemerlang.


Di beri ruang untuk memohon maaf, bermakna diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan. Empunya diri ini, punya kelemahan nyata dalam pertuturan dan dalam menyusun kata, apatah lagi sering gagal mentafsir situasi semasa. Kekadang ingin disampaikan dalam suasana harmoni, namun tanpa sengaja disampaikan pula dalam suasana penuh tegang. Kerap pula hamba ini mencetuskan suasana penuh tegang dan kurang senang. Biarpun niat dihati mahu turut membantu mencari alternatif dan solusi. Mohon maaf atas kelemahan dan khilaf diri. 


Moga-moga di sana masih ada peluang. Peluang dalam kebersamaan, dalam susah dan senang. Bermakna, bukan lagi entiti asing yang sering mencetuskan kontroversi. Sebaliknya, turut menjadi tonggak utama dalam memanfaatkan  hidup dan memaknakan perjuangan. Alhamdulillah, Allah telah memberikan Ilham dan Hikmah buat hambaNYA ini untuk menulis sebagai wasilah merungkaikan yang tersirat dan menjernihkan yang tersurat. Kerana kelebihan yang DIA kurniakan demi menampung kelemahan hambaNYA dalam pertuturan. Begitu Maha Hebat Allah s.w.t, mengajar hamba-hambaNYA memanfaatkan Ruang dan Peluang.



Rijal88
6.30 p.m, Rabu, 15 Jun 2011,
UIAM GOMBAK.


Monday, June 13, 2011

SAAT LAFAZ SAKINAH, DETIK AMANAH BERSAMA


Menjadi keutamaan cinta kerana Allah, sebagaimana hadis yang dituturkan melalui lidah suci Rasulullah s.a.w.

Daripada Abu Muslim al-Khaulani daripada Mu’az bin Jabal r.a, ia berkata:
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w menceritakan daripada Tuhannya dengan sabdanya: ‘Orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali NaunganNYA.’ ”
 (RIWAYAT MUSLIM)


SALING MELENGKAPI


        Maha Suci hanyasanya layak buat Allah. Yang menciptakan makhluk berpasang-pasangan. Langit pasangannya bumi. Lautan pasangannya daratan. Lelaki pasangannya wanita. Suami pasangannya isteri. Perkahwinan itu saling melengkapi, saling beperanan dan saling membantu. Fitrah semulajadi Kurniaan Ilahi, diterjemahkan dalam ikatan yang direstui. Bermula ‘Saat Lafaz Sakinah’, maka bermulalah ‘Saat Memikul Amanah Bersama’. “Rumahku, Syurgaku” menjadi impian semua, bukan angan-angan semata. Hingga Amanah berkeluarga disanggupi bersama, sepenuh hati dan jiwa.  



Baitul Muslim selamanya tidak akan harmoni jika suami hanya sentiasa meminta-minta untuk mendapat layanan dan ketaatan daripada Isterinya. Sedangkan dia sendiri mengabaikan amanah sebagai suami seadanya. Begitu juga buat isteri, hanya merayu-rayu belaian, perhatian dan pimpinan suaminya sedangkan dia sendiri tidak melayan dan apatah lagi taat pada suaminya dengan baik. Oleh sebab itu, suami dan isteri harus ikhlas memberi tanpa mengharapkan balasan. Memberi kerana menghargai, tanpa harap balasan penghargaan. Memberi kerana kesan Mahabbah demi menggapai Mawaddah, Sakinah dan Rahmah. Dan sebenarnya, mereka saling memberi kerana benar-benar melaksanakan amanah dan tuntutan daripada Allah.


Semoga Allah menyatukan hati-hati kalian berdua, buat Akhi Naazir dan Ukhti Solehah. Bunga-bunga cinta indah memekar bermula disaat menyemai benih Iman kepadaNYA. Menjadi harap dan pinta hanya padaNYA. Hanya Allah tempat harap untuk mentautkan cinta di hati kalian, dengan memenuhi syarat memperolehi CintaNYA demi cinta sesama makhluk. Dan hanya Allah tempat pinta kekuatan melaksanakan Amanah, dalam melayari Bahtera Bersama. Mahabbah dan Amanah saling melengkapi. Usah di pisah di antara keduanya.


RENCANA ILAHI



Buat teman yang belum mempertemukan jodoh buat dirimu. Yakinilah bahawa, Jodoh itu rencana Ilahi. Amat dekat, cuma belum diketemui. Allah sesekali tidak pernah salah memilih Skrip Takdir buat kita. Di setiap EpisodNYA, Allah pasti menyelitkan Mutiara Hikmah untuk kita ambil dan pelajari. Dan hanya mereka yang beriman dan berakal yang pasti memahami hakikat ini.


Buat hatimu sedang diremukkan. Jangan sesekali berikan celah kepada Nafsu dan Syaitan berperanan. Yang hanya membuatkan Imanmu terlemahkan. Perihnya duka lara bukanlah suatu isyarat Kiamat sudah mendatangimu. Cumanya, sebuah Lamaran CintaNYA buat dirimu. Ya, memang berat kerana pastinya ganjaranNYA maha hebat buatmu. Allah memutuskan hubunganmu dengan Makhluk, demi mengutuhkan ikatan denganNYA. Kan itu jauh lebih indah?


Tersenyumlah temanku  dalam kesabaran munajat panjangmu. Meskipun, hatimu disiat-siat tanpa kerelaan dan jiwamu penuh harapan dibalasi kehampaan. Dan biarpun kau dapati tiada pasangan buatmu di dunia ini. Bukan bererti Allah sedang menghukum dan murka padamu. Namun, DIA sedang menyiapkan makhluk terindah buatmu, yang sedang menantimu di Syurga. Yang setia menemani jiwamu. Syaratnya, kau juga harus persiapkan diri sebagai Mukmin Sejati. InsyaAllah…..



Rijal88
6.30 a.m, Isnin, 13 Jun 2011,
UIAM GOMBAK.





Friday, June 10, 2011

TERIMA KASIH DAN MAAF



Jarang sekali berpesan kepada diri sendiri. Hingga menampakkan kelebihan dalam diri lebih dari kelemahan pada diri. Jari telunjuk pantas menunjuki kesalahan orang pada setiap inci. Tanpa sedar kelingking berkait menunding pada diri. Bimbang tidak segera berpesan pada diri. Kelak yang putih nampak hitam dan hitam tampak putih. Dosa terasa amat selesa. Pahala nan terasa seperti bala. Na’uzubillahi Min Zaalik.


Syukur kepada Pemberi Nikmat. Terima kasih kepada Pembawa Rahmat. Kedua-keduanya kembali kepada Allah, Maha Pemberi Berkat. Jangan di biar nikmat yang melimpah disekat. Lantaran lidah yang sepatutnya subur dengan ucapan syukur, dibiar tersejat.


Jangan di pandang yang bernilai dengan nilaian yang murah. Kelak si pemakai terasa seperti tiada maruah. Kalimah ‘Terima Kasih’, ‘Syukran’ dan sekalipun ‘Thank You’ kini di pandang asing. Kalimah yang ringan, terasa berat untuk dituturkan. Apatah lagi hati yang perlu membenarkan.


Ringan kan lidah dengan ucapan penghargaan. Tidak perlu hadiah yang bertaraf bangsawan. Hanya cukup ucapan ‘Terima Kasih’, sebagai pengukuh ikatan. Maka, ucapkanlah ucapan Syukur padaNYA dan terima kasih kepada Hamba-hambaNYA.


************


Tidak hina jika kita yang mendahului dengan ‘Ucapan Maaf’. Biarpun bukan kita pemula segala khilaf. Kerana ia dipandang mulia makhluk langit dan bumi. Apatah lagi Allah, Maha Pengampun. Kita mengalah bukan bererti kalah, bahkan menangnya kita penuh bermaruah.  


Jangan beratkan lidah, dengan kalimah ampun dan maaf. Kerana hati menjadi tenang dan lapang. Tenangkannya hati dari Nafsu Amarah. Lapangnya dada dari segala hasad dan dendam. Moga-moga Hisab menjadi mudah, dengan mudahnya memaafkan kesalahan orang.


************


Teringat pada 4 pesanan dalam bersahabat. Ingat akan 2 perkara. Dan Lupakan pada 2 perkara.

1-Ingat KEBAIKAN orang lain terhadap kita.
2-Ingat KEBURUKAN kita terhadap orang lain.
3-Lupakan KEBAIKAN kita terhadap orang lain.
4-Lupakan KEBURUKAN orang lain terhadap kita.





“Seinfiniti terima kasih buat teman-teman yang berbakti & mohon maaf atas segala salah dan khilaf dalam bersahabat”




Rijal

2.56 am, Jumaat, 10 Jun 2011

UIAM GOMBAK.


Tuesday, June 7, 2011

23




UMUR  DAN  USIA


“Umur umpama harta. Bukan kuantiti yang menjadi perkiraan. Namun, kualiti dan berkat menjadi ukurannya. Biarpun sedikit, hadirnya tetap dirasai. Banyaknya, boleh di manfaatkan”.


Begitulah umpamanya umur. Pendek dan panjang bukan ukuran sebenar. Antara Berkat dan Sia-sia menjadi pilihan. Diberikan pena dan kertas. Supaya menulis hikayat hidup di Lembaran Kanvas. Yang bernama Kehidupan. Cerita dan coretan atas pilihan, yang dibekalkan arahan dan petunjuk. Dan dihakimi Allah, Rabb Penguasa segala Tadbir dan Takdir. 


Umur makin meningkat, bermakna usia juga makin singkat. Memilih antara sia-sia dan berkat. Menuju Allah sebagai Matlamat. Kematian bukannya penamat. Ia permulaan perjalanan antara azab dan nikmat.


Alhamdulillah, Allah masih memberikan peluang supaya terus…


“Memanfaatkan Hidup, Memaknakan Perjuangan”






Rijal

2.00 am, Selasa, 7 Jun 2011

UIAM GOMBAK.


Followers

 
Powered by Blogger.