Monday, February 21, 2011

HARUS MEMILIH



PILIHANKU, DITANGANKU

Pada mulanya aku melangkah lesu. Tiap-tiap jejak tidak lagi bertenaga. Biarpun sakit pada zahirnya dan penat pada batinnya. Namun harusku tetapkan azam, agar tegar menjadi pendengar yang menghargai dan menghormati pada penutur bicara. Kerana…


Ada sahaja suara-suara yang menarik perhatianku, agarku lebih tekun dan amati setiap patah dari penuturnya. Ada suara yang tonnya merdu serta ‘context’ dan ‘content’nya enak didengar. Tak kurang juga adanya suara-suara yang membingitkan. Tiap patahnya begitu tajam, pedih dan beracun. Jadi, lapang dada dan bersangka baik(Husnu Zon) sebagai pengubat mujarab. Redha dan sabar sebagai penawar utama.


Hidup ini harus memilih. Dasarnya tersedia dua persimpangan jalan. Antara Jalan Hidayah dan Jalan Kesesatan. Kita diberi hak untuk memilih. Pastinya sebab dan akibatnya bakal tertanggung oleh kita. Lantaran pilihan dan pertimbangan yang telah kita putuskan. Siapa, apa, dimana dan bagaimana kita, zahirnya dinilai dari jalan yang kita pilih. Hakikatnya, tersimpan kemas pada Khazanah HikmahNYA.


INILAH JALANKU

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh pendirian(di atas jalan Tauhid), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang(dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Al-Fussilat: 30)


Tiada gunanya ku mengeluh kerana inilah jalan yang kupilih. Tiap mehnah dan onak durinya wajib ku tempuhi. Memenuhi pada setiap tuntutan adalah kemestian. Biarpun usaha dan peranan langsung tidak diktiraf. Sebaiknya, yakinilah bahawa cukuplah Allah, Rasul, malaikat dan orang-orang soleh sebagai penyaksi. Setiap amal perbuatan tersedia buat semua, antara ganjaran dan balasan. Kerana Tanggungjawab itu adalah cantuman dua makna. Tanggung amanah di dunia ini. Dan Jawab dengan amanah di akhirat kelak.


*****


Istiqamahlah dengan jalan yang dipilih. Kerana seseorang istiqamah(tetap pendirian), tiadanya perasan duka dan kesedihan. Sebabnya, orang-orang yang sedih itu merasa kehilangan sesuatu atau tidak tercapainya sesuatu. Sedangkan orang yang Istiqamah itu tertumpu semua pergantungannya kepada Allah. Mulai dengan hartanya, keluarganya dan bahkan dirinya diserahkan sepenuhnya kepada Allah. Hanya orang Istiqamah sahaja yang sedar bahawa semua itu milik Allah dan akan kembali jua kepada Allah. Nilai sebuah Istiqamah. Nyaman dalam sebutan, tenang dalam amalan.


Akanku berpegang pada janji. JanjinyaNYA kesungguhan yang pasti. Kerana Inilah jalan yang ku pilih, tersedia padanya pintu kemenangan, lorong bercahaya, langkah untukku pulang kepadaNYA.


“Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu.” (Hud: 112)



Rijal88

2.15 am, Isnin, 21 Februari 2011

UIAM Gombak

Saturday, February 19, 2011

SUDAH-SUDAHLAH




STOP BLAMMING, STOP CLAIMING


Sahabat-sahabat,


Hentikanlah! menyalahkan antara satu sama lain. Kerana ia bakal membongkarkan bahawa betapa jahilnya kita. Terkeliru antara hujah dan penghujahan. Terjerat antara keutamaan dan remeh-temeh. Terjerut antara perkara dasar dan furu’(ranting). Hentikanlah! kerana ia meruntuhkan kesatuan antara kita. Melunturkan warna-warni ukhuwah yang telah kita warnai.


“Kau Salah!! Mereka Salah!!”, Si A Meninggikan suara.


“Habis tu Kau Betul Sangat!!”, Si B turut menyerlahkan keegoannya.


Apa yang mahu di kritik? Kerana jelasnya kesalahan mereka. Ataupun mahu di gelar diri terlalu sempurna?


Sedar atau tidak, pada sesetengah situasi mereka yang hanya lantang mengkritik adalah dua kali lebih teruk daripada mereka yang di kritik. Mengapa? Kerana mereka telah mengulangi kesilapan yang sama secara berulang, biarpun telah menyedarinya. Dan mereka hanya lantang mengkritik tanpa datangkan alternatif sebagai solusi dan penambahbaikan.


Sahabat-sahabat,


Bukannya tiada langsung ruang untuk mengkritik. Bukannya niat mahu mencantas sama sekali mereka yang mengkritik. Bahkan tiada salahnya mengkritik. Tapi biarlah kena pada cara dan tempatnya. Malah pintu diskusi sentiasa terbuka luas. Medium perbahasan pula mengalu-alukan mereka yang mahu dan mampu berbahas secara beretika.


Sebaiknya jadilah pengkritik yang beretika. Yang mengambil kira aspek susunan kata-kata, kondisi semasa, content dan context pula biarlah berseiringan. Yang mana adab dan disiplin dalam berbahas dijadikan sebagai polisi dan rujukan.


LETS START WORKING


Marilah sama-sama merenungi maksud disebalik FirmanNYA:


Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk”

(Surah Ali Imran, Ayat 103)


Baikilah dan kukuhkanlah hubungan kita dengan Allah. Nescaya baiklah hubungan kita sesama manusia. Bahkan bertambah eratlah tautan hati kita dengan mereka. Bersama-samalah kita bersatu di atas persamaan. Kerana di sana masih terlalu banyak persamaan antara kita. Maka satukanlah fikiran kita, satukanlah gerak kerja kita, kerana bersatunya kita kerana Akidah Yang Sahih.




Rijal88

6.45 pm, Sabtu, 19 Februari 2011

UIAM Gombak

Monday, February 14, 2011

HATI INSAN



HATI YANG GERSANG


Aku berjalan, melihat dan mentafsir gelagat manusiawi…mereka berjalan nan berkelana mencari jawapan kepada TUJUAN. Berpandukan Hati atau Emosi?. Mungkinkah mampu melihat dengan mata hati, tatkala hati sarat dengan beban dosa? Mampukah mentafsir kejadian di saat hati tersedia mati. Pabila diri gagal mengenali hati sendiri.


Ya..


Hati insan telah gersang, kerna sudah lama ditimpa kemarau. Benih Iman sudah tidak tumbuh menjulang. Tidak lagi subur seperti semalam. Ia lesu sayu seperti kesusahan dan keperitan. Ibarat pohon tidak berkumbang. Tiada tarikan, tiada kelebihan. Tidak lagi menghasilkan Bunga seperti yang diinginkan.


Benih Iman tidak lagi menghasilkan Pohon Islam yang menjulang. Bunga dan Buah Akhlaknya amat berkurangan bahkan tidak lagi memberi faedah. Kerana Akar Imannya telah mereput dan mati. Begitulah hati yang telah gersang.



“ Dan bandingkan kalimah yang jahat-buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah terbongkas akar-akarnya dari muka bumi tidak ada tapak baginya untuktetap hidup.” (Ibrahim: 26)


HATI YANG SUBUR


Namun, pabila hati insan disirami, dengan sinaran Iman dan Taqwa. Maka, ia akan membuahkan Cahaya dari diri Insani sendiri. Menyuburkan Pokok Islam yang diidami. Dan Bunga dan Buah Akhlak Mahmudah yang dinantikan. Begitulah keindahan Iman dan Taqwa. Memberi kebahagiaan seorang Insani. Supaya menyeri dan memeriahkan Taman-taman kediaman, pada Fitrah Insani. Itulah Syurga yang disegerakan sebelum Syurga yang dinantikan.


“ Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.” (Ibrahim: 24)



Rijal88

2.45 pm, Sabtu, 12 Februari 2011

Masjid India KUALA LUMPUR.

Followers

 
Powered by Blogger.