Wednesday, February 25, 2009

SAAT KEMENANGAN ISLAM

Setelah kejatuhan empayar Islam Uthmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat.


Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.


Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya.


Firman Allah Taala.:


" Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)


Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.


Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.


Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.


Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka….ALLAHU AKBAR…ALLAHU AKBAR…ALLAHU AKBAR!!!

YA SYABABUL ISLAM!!!





Sahabat-sahabat seperjuanagan yang mulia!!!

Di saat yang bertuah ini, sukacita saya membayangkan kesyukuran dan perasaan

puashati saya dengan peluang ini, di mana diberi kesempatan untuk saya

menyampaikan coretan kalam yang serba kekurangan ini di hadapan sahabat-sahabat yang baik yang

terdiri dari pemuda-pemudi yang beriman serta ikhlas berjuang di jalan Allah.


Saya berdoa agar Allah berikan taufik kepada saya dan kepada saudara-saudara untuk

mendapat keredhaanNya dan ia menjadikan segala amalan kita ikhlas kepadaNya.


DUNIA ISLAM


Saudara-saudara yang mulia !!


Perkara yang pertama yang harus anda semua ketahui ialah Dunia Islam seperti yang disebutkan oleh Abul ‘Ala Al-Maududi terbahagi kepada dua jenis:


Jenis pertama :


Negara di mana orang-orang Islam merupakan kumpulan minoriti dan tampuk

pemerintahannya berada di tangan orang lain (bukan Islam).


Jenis kedua :


Negara yang majoriti (sebahagian besar) penduduknya terdiri dari orang-orang Islam

dan mereka sendiri menerajui pemerintahan. Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa kelompok yang kedua ini lebih penting dari kelompok yang pertama mengikut ukuran biasa. Kerana nasib umat Islam di dunia ini benar-benar bergantung di atas maju atau mundurnya kelompok kedua ini, berdasarkan sistem yang dipilih untuk diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.


Ini bukan bererti saya menafikan kepentingan kelompok yang pertama, malahan saya

memberi perhatian khusus untuknya, kerana dengan wujudnya orang-orang yang

beriman dengan satu akidah, satu fikrah dan satu sistem hidup yang berada di segenap

penjuru alam ini, yang bilangan mereka ratusan ribu, malah lebih banyak, itulah

sebenarnya sebesar-besar wasilah dan sekuat-kuat pendorong untuk membakar

semangat orang-orang yang beriman dengan akidah, fikrah dan sistem tadi supaya

hidup secara praktikal dan meninggikan panjinya.


Tetapi apabila akidah, pemikiran dan dakwah tadi telah kalah dalam kandang sendiri

atau kedudukan terhina maka sudah terang orang-orang mukmin yang bertaburan

disana sini di segenap pelusuk alam tidak akan di tanggung oleh bumi dan diteduhi

oleh langit hingga sesuatu masa yang tidak dapat ditentukan, dan ianya bukanlah dalam jangka masa yang pendek pula.

Akhlak Seorang Muslim


Wahai sahabat-sahabat sekalian “Akhlak Cerminan Peribadi”. Pada kali ini ingin saya menupas sebuah buku yang bertajuk ”APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM” hasil tarian pena Fathi Yakan yang saya rasakan sudah tidak asing lagi dalam kalangan kita sebagai para pendokong Islam. Di antara ciri-ciri akhlak yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya dia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlak-akhlak yang berikut:


1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.


Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan ajaran dari hadis


Rasulullah s.a.w yang berbunyi:


Yang bermaksud: Sesungguhnya yang hala itu nyata (terang) dan haram itu

nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran,

yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang

memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).


Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara' adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda:


Yang bermaksud: Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk di dalam

martabat golongan muttaqin sehinggalah dia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan. (Hadith riwayat

Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Hakim dan Tirmizi berkata: Hadith ini

Hassan)


2. Memelihara Penglihatan:


Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang-orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah.


Allah s.w.t berfirman:


Yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki

yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram). (Surah An-Nur, Ayat: 30).


Rasulullah s.a.w pula bersabda:


Yang bermaksud: Pandangan itu ada satu penahanan dari penahanan iblis.

(Hadith riwayat Al-Hakim dan At-Tabrani)

3. Memelihara Lidah:


Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:


“Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya

kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya

maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang”.


Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang

menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas yang empunya diri:

Yang bermaksud: Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu

sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya. (Hadis Riwayat Tirmizi).


Sabdanya lagi:


Yang bermaksud: Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya,

sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak

dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya. (Diriwayatkan oleh

Baihaqi).



4. Bersifat Pemalu


Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.


Rasulullah s.a.w bersabda:


Yang bermaksud: Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh

cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada tuhan

yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri

dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman. (Hadis riwayat Baihaqi).


Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan:


Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu

meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang

lain.

Followers

 
Powered by Blogger.